perngertian cinta……(kisah buat semua,bacalah n hayatilah…)
Wow…cantiknya perempuan tue!” Mata Zarul macam nak terkeluar, “kalau aku dapat awek macam tu, aku jaga baik beb.” Zarul mula memasang angan-angan dalam hatinya. Shiela yang duduk disebelahnya mencebikkan mulut, menyampah.
“Apa lagi..pergilah kejar.” Shiela memberi cadangan, namun jauh disudut hatinya terasa begitu sakit sekali dengan tingkah Zarul.
“Tak pe…pelan-pelan, benda macam ni tak boleh gelojoh-gelojoh.” Zarul membalas. Matanya masih melekat pada gadis yang sedang sibuk membawa minuman kepada pengunjung gerai tersebut.
“Aku nak baliklah, tetiba je rasa sakit kepala!” Shiela sudah sedia mengangkat beg. Dia tidak boleh tunggu lagi.
“Rilekss lerr dulu, awal lagi ni..baru pukul 8.00 malam. Lagi pun balik cepat bukan ada apa-apa pun.Besok bukan kau kerja pun.” Zarul menghalang. Lengan Shiela di tarik.
Dia tahu, Shiela terasa dengan kata-katanya tadi. Memuji perempuan lain didepannya. Tapi sudah banyak kali dia jelaskan pada Shiela, bahawa hubungan mereka tidak lebih dari seorang sahabat, Zarul memang suka dan senang dengan Shiela, tapi hanya sekadar seorang sahabat baik, tak lebih dari itu.
“Ahh..malas aku nak tunggu. Kau nak lepak, teruskan. Aku nak blah!” Shiela mula melangkah.
“Oii..tunggulah…kecohlah minah ni.” lantas Zarul mengeluarkan wang dan membayar air minuman mereka. Dia terkocoh-kocoh mengejar Shiela yang sudah jauh meninggalkanya.
“Hei..minah, kau ni apsal. Kusut je.” termengah-mengah Zarul disisi Shiela. Shiela buat muka selamba, kata-kata Zarul tidak diendahkan. Dia ni gali lubang kubur sendiri nampak gayanya. Takkanlah tak faham lagi, aku sakit hati dengan perangai miang dia tadi. Buat hilang mood je.
“Shiela!! Aku tanya kau ni, apsal angin tetiba je!” sengaja Zarul meninggikan suaranya.
“Hei!! Kau jangan nak jerit-jerit dengan aku.” Bulat mata Shiela memandang wajah Zarul.
Nafas Zarul turun naik, tak ada angin tak ada ribut..tahu-tahu nak marah. Susah betul nak jaga hati perempuan seorang ni. Kalau tak dikenangkan persahabatan yang dibina sejak sekolah rendah, dah lama dia tinggalkan perempuan ni balik sendiri. Kocek seluar di seluk. Kunci kereta Satrianya diambil. Pintu ditutup dengan keras. Shiela masih buat muka seposennya, rasa bersalah langsung tak wujud dalam hati. Sakit hatinya tak tertanggung.
“Kau nak balik ke tak nak. Aku tinggal kau kat sini, baru padan dengan muka kau!” Zarul hilang sabar. Mengada-ngada, takkan nak aku bukakan pintu baru nak masuk. Kalau aku tinggal kata pula aku ni zalim, tak ada hati perut.
Shiela masuk ke dalam perut kereta dengan muncung yang panjang. Dia sengaja menutup pintu dengan kuat. Biar tercabut, baru puas hati aku.
Zarul segera memandu pulang, suasana senyap sunyi. Tiada lagi gelak tawa seperti selalu. Masing-masing melayan perasaan. Shiela masih terguris dengan sikap Zarul. Susah benarkah dia nak menerima aku sebagai seorang kekasih. Kelopak matanya bergenang. Sudah terlalu lama dia menanti dan mengharapkan Zarul membuka ruang untuk dirinya, tapi, itu hanya angan-angan kosong. Zarul tetap dengan keputusan, bahawa antara dia dan Zarul hanyalah bersahabat. Tiada hubungan istimewa. Hatinya pedih, mutiara jernih gugur di pipi gebunya.
Bunyi bising di bawah mengejutkan dia dari tidur. Matanya mengerling jam di dinding. Jarum jelas menunjukkan pukul 9.30 pagi. Ahhh, malasnya nak bangun. Penat sungguh. Hari-hari minggu macam inilah nak beristirehat. Longgarkan semua otot-otot yang penat bekerja. Tiba-tiba pintu biliknya diketuk dari luar.
“Kak Long, kak long, ibu panggil,” diluar pintu bilik terdengar suara Dahlia, adik bongsunya yang berusia 7 tahun.
“Ibu nak apa…kak.long penatlah.”
“Mana Lia tahu. Tapi ibu kata kalau Kak long tak turun sekarang, jangan menyesal,” terdengar derap kaki Dahlia berlari turun ke bawah. Apalah agaknya ibu ni, siap ugut-ugut lagi.
“Yelah, yelah, kak long turun kejap lagi!” Shiela menjerit, dengan malas dia bangun menuju ke bilik air. Segera dia mencuci muka dan mengosok gigi, tanpa disedarinya, dia terlajak memberus gigi, terasa pedih lelangit. Ahhh, sakitnya.
Shiela turun dengan hanya berseluar pendek dan berbaju tanpa lengan. Rambutnya diikat dengan getah. Dengan muka yang masam dia melangkah menuju ke ruang tamu.
“Apahal ibu? Shiela mengantuk ni,” ibunya hanya senyum memandang wajah Shiela. Tangan ibu membelai rambut Shiela yang terlebih keluar, akibat tidak diikat dengan elok.
“Cuba Shiela tengok, sapa ada kat luar tu,” Ibu menunding jari ke luar rumah.
Dengan jelas Shiela nampak seseorang sedang duduk di atas kerusi di taman. Huh, apsal pula pagi-pagi dah datang rumah orang ni.
“Kenapa dia datang? orang malas nak jumpa dia. Baik ibu suruh dia balik. Shiela dah tak nak jumpa dengan Zarul lagi,” Shiela mula membentak dan marah-marah.
“Tak baik tau. Tadi Auntie Zie ada call ibu, dia beritahu yang Zarul nak minta maaf dengan Shiela tapi dia takut. Jadi ibu yang minta Zarul datang,” Ibu menjelaskan.
“Apa?! Buat apa ibu suruh dia datang? Shiela dah tak nak tengok muka dia lagi!” Shiela berlari naik ke atas. Pintu bilik ditutup dengan kuat. Kemarahan Shiela kian memuncak. Sakit hatinya malam tadi masih belum reda lagi.
Di ruang tamu, ibu hanya tunduk memandang lantai. Hairan benar ibu dengan sikap Shiela kali ini. Ini bukan kali pertama Zarul dan dia bertengkar. Tapi kali ini lain macam sikit anginnya. Zarul yang masih tercegat di pintu dipandang dengan seribu persoalan.
“Tak apalah Makcik Sue. Biar Zarul balik dulu. Esok lusa redalah tu,” Zarul masuk dan menghulurkan tangan untuk bersalam.
“Maaf ya Zarul, sebab makcik yang suruh Zarul datang. Tak sangka pula jadi macam ni,” kepala Zarul diusap. Hatinya sayu bila melihat wajah Zarul yang hampa. Entahlah, dia sendiri tidak faham dengan perangai Shiela. Waktu suka, bukan main lagi. Sekarang tengah marah, tengok muka pun tak nak. Dia akui yang Zarul seorang budak yang baik, walaupun umurnya baru menjangkau 22 tahun, tapi dia begitu pandai mengambil hati orang tua. Lagipun bukan baru dia kenal dengan Zarul dan keluarganya. Sejak mereka tinggal di Kuartes Polis lagi. Sejak kematian arwah suaminya 6 tahun yg lalulah, baru dia berpindah ke rumah lain. Tapi hubungan dan keakraban mereka tidak pernah luntur. Zarul seperti anaknya sendiri. Mentelahan pula dia sendiri tidak punya anak lelaki.
“Kirim salam dengan mama kamu Zarul. Hati-hati bila memandu tu,” Ibu memberi pesan.
Deruman enjin kereta Zarul, membuat hati Shiela di dalam bilik tidak tenteram. Kenapa? kenapa mesti ini yang aku lalui? Zarul, kenapa kau tolak cintaku. Sedangkan kau sendiri tahu betapa aku sayang dan kasih pada kau. Dari balik tingkap, Shiela merenung jauh kereta Satria putih Zarul meninggalkan rumahnya.
**********
“Hai, termenung je, kenapa ni?” Rita menyapa Zarul yang dari tadi di lihatnya asyik termenung. Tanganya mencapai beberapa dokumen yang dibiarkan bersepah di atas meja.
“Hei, kenapa ni?!” sekali lagi Rita menyapa, bila disedarinya sapaan pertama tiada tindak balas dari Zarul.
“Entahlah Rita, sejak dua menjak ni. Hidup aku serba tak kenalah. Perasaan aku kosong,” akhirnya terkeluar juga apa yang terbuku di dalam hatinya.
“Cuba kau cerita dengan aku, apa sebenarnya yang terjadi. Aku tengok, kau sekarang lunch pun tak keluar. Handphone kau tu, jarang aku dengar berbunyi. Sms pun tak ada, kau krisis dengan Shiela ke?” Rita cuba meneka.
Zarul menganggukkan kepala. “Memang benar kata-kata kau Rita. Sekarang baru aku rasa betapa aku perlukan dia dalam hidup aku. Dah seminggu aku tak mendengar gelak tawanya. Jeritan manjanya. Ahhh, aku benar-benar rindu pada Shiela,” satu persatu diceritakannya pada Rita. Tentang luahan hati Shiela juga dikhabarkan. Rita mendiamkan diri, mendengar penuh khusyuk cerita Zarul.
“Hmmm..macam nilah Zarul, Rita nak cakap pun tak tahu. Tapikan, yelah kau kenal dia dari sekolah rendah lagi. Banyak kesesuaian antara kau orang berdua. Apa kata kalau kau bagi dia peluang untuk membuktikan yang cintanya pada kau bukan mainan. Aku rasa tak salah. Dan aku pasti, sebenarnya kau pun suka pada dia. Cuma kau ni ego sikit. Maaflah, contohnya sekarang, kau dah boleh tengok apa, kau ingat kat diakan.” panjang lebar Rita memberikan pendapatnya.
Zarul, tunduk memikirkan kebenaran kata-kata Rita. Benarkah aku ni ego, mungkin juga. Selama ni, aku memang tak pernah nak menilai kasih dan sayang Shiela.
“Habis tu, aku nak buat apa sekarang?” tanya Zarul.
“Hah, kejap lagi lunch time, apa kata kau call dia ajak keluar? Kau singgahlah mana-mana kedai bunga. Surprise sikit,” Rita memberi cadangan.
“Yes, boleh pakai juga idea kau tu! Anyway, thanks yea Cik Rita.” Zarul senyum, tangannya pantas mencapai handphone. Nombor Shiela dicari. Rita meninggalkan Zarul.
Tuttuut… Tuttuutt… Tuttuutt…
Zarul menanti dengan penuh debaran. Kenapa dia tak angkat telefon ni? Marah lagi ke? Dah seminggu ni. Alamak, serabut ahh kalau macam ni, Zarul masih terus mendail. Menanti dan terus menanti. Rasanya hampir sepuluh kali dia mendail. Balik-balik pesanan suara. Dah berbakul-bakul dia tinggal pesan, satu pun tak berbalas.
Kenapalah kau keras hati sangat Shiela. Zarul binggung. Baru sekarang dia dapat rasakan bagaimana perasaan Shiela bila dia buat endah tak endah selama ini. Hatinya bagaikan hendak pecah. Semuanya serba tak kena.
Tanpa Zarul sedari waktu makan tengah hari hampir tamat. Dia gagal menghubungi Shiela dan dia tidak keluar makan. Perutnya terasa pedih, tapi tidak sepedih tangkai hatinya. Rita yang baru masuk merenungnya dengan tanda tanya, bahu dijungkitkan. Zarul menggelengkan kepala membalas. Rita senyum, dan tangannya menyapu dada. Mungkin disuruhnya Zarul bersabar. Zarul hanya mampu tersenyum kelat.
Tepat pukul 5.00 petang, Zarul segera menutup komputer dan mencapai kunci kereta. Rita yang duduk di Bahagian Admin melihat dengan penuh hairan. Ke mana ajalah budak ni, tergesa-gesa. Hmm, mungkin nak jumpa dengan Shiela kot? Itulah, tak ada masalah, cari masalah. Sekarang diri sendiri dah susah.
Sebelum keluar Zarul sempat menoleh ke arah Rita. Rita tersenyum dan ibu jarinya diangkat menunjukkan tanda semoga sukses. Zarul mengenyitkan matanya.
Pukul 5.45 petang, Zarul tiba di rumah Shiela. Hatinya sedikit berdebar. Kali ini dia nekad, kalau Shiela masih tidak mahu menemui dan memaafkanya, dia akan duduk di hadapan bilik Shiela sehingga semuanya selesai.
“Assalamualaikum, hello! Ada orang ke tak ni?” skuter Shiela pun tak ada. Belum balik kerja agaknya. Zarul terjenguk-jenguk dari luar.
“Wa’alaikumusalam.” terdengar suara dari dalam.
“Zarul rupanya, makcik ingat siapa tadi. Masuk, masuk, Shiela belum balik kerja lagi. Mungkin sekejap lagi sampailah dia tu.” Makcik Sue mempelawa Zarul ke dalam rumah.
Zarul duduk, tangannya mencapai alat kawalan jauh TV. Rancangan kartun Doraemon tertera di skrin tv. Dia sememangnya sudah terlalu biasa dengan keluarga ini, sebab itulah tiada lagi perasaan malu nak buka tv. Zarul merenung kosong. Fikiranya melayang entah ke mana.
“Zarul…berangan ke?” Makcik Sue menegur, ditangannya ditatang segelas minuman sejuk. Air sirap memang kegemaran Zarul. Zarul senyum. Entah bila makcik masuk dan keluar membawa air pun dia tak perasan. Fikirannya memang tengah serabut habis. Shiela, Shiela.Itu sahaja yang difikirkannya.
“Minumlah, makcik naik ke atas sekejap. Dahlia tengah mandi tu,” Makcik Sue melangkah meninggalkan Zarul seorang diri.
“Makcik, boleh Zarul masuk bilik Shiela? Please, sekejap je, kali ni aje,” Zarul merayu.
“Hmmm, ok, tapi Zarul nak buat apa?” Makcik Sue mengerutkan dahi, hairan dengan permintaan Zarul.
“Tak buat apa-apa pun, saja je nak tengok-tengok CD Shiela. Bolehlah makcik,” kali ini suara Zarul sengaja dikecilkan seakan-akan kanak-kanak sedang merengek.
“Ok, ok, jangan usik benda lain tau!” Makcik Sue memberi keizinan. Dia percaya pada Zarul.
“Thanks makcik,” Zarul keriangan, pipi Makcik Sue dicium lembut. Hatinya berbunga riang.
Makcik.Sue menggelengkan kepala,“Hisshhh, budak-budak zaman sekarang ni memang pelik-pelik.”
Tatkala pintu bilik dibuka, keharuman segera menusuk ke hidung Zarul, “Wahh, ini bau kegemaran aku, bau Lavender.”
Matanya meliar melihat sekeliling bilik. Perabot tersusun rapi, lilin-lilin aroma tersusun di sudut kepala katil. Shiela memang pandai menghias, walaupun tampak ringkas, tapi menarik. Koleksi CD tersusun cantik. Sebuah meja tulis diletakkan berhampiran tingkap, pemandangan kehijauan jelas kelihatan, tenang sekali. Gambar-gambar mereka berdua dibingkaikan. Hati Zarul tersentuh, “Thanks Shiela, aku amat menghargainya.”
Tiba-tiba matanya terlihat sebuah dairi. Dia menarik kerusi dan duduk, tangan mencapai dairi dan menyelak helaian pertama. Zarul membaca, ada juga isi-isi dairi itu yang menggelikan hatinya, “Shiela, Shiela, umur aje 22 tahun. Tapi perangai macam budak-budak.”
Dalam sedang asyik membaca itu, Zarul melihat ada beberapa tarikh yang ditulis dengan pen merah. Isi kandunganya turut ditulis dengan pen berwarna merah.
11.06.03, 11.30 malam.
Hari ini perasaanku hancur. Pertama kali aku memberanikan diri meluahkan isi hatiku pada Zarul. Tapi, Zarul telah menolaknya. Sedih dan terkilan, entahlah. Aku sendiri tidak tahu apa sebenarnya perasaanku. Nak kata marah, aku rasa tak layak. Sebab aku tahu cinta memang tak boleh dipaksa. Zarul, dari dulu tetap menganggapku sebagai seorang sahabat sahaja. Katanya, itu lebih baik daripada hubungan istimewa. Aku sendiri tidak tahu sejak bila aku jatuh cinta pada Zarul. Yang aku tahu, aku amat menyayanginya. Dan aku rasa rindu jika sehari tak mendengar suaranya. Perasaan masih kecil-kecil dulu jauh berbeza dengan perasaan sekarang. Sedih memanglah sedih. Tapi aku nak buat macam mana? Bertepuk sebelah tangan takkan berbunyi.
Hati Zarul tersentuh, apasal aku begitu buta? Permata depan mata aku tak nampak. Selama ni pun aku bukannya ada teman istimewa. Kehulu kehilir aku dah memang berdua dengan Shiela, aku masih tak boleh merasainya.
13.06.03, 1.00 pagi.
Hari ini, semuanya macam biasa. Aku ada belikan sesuatu untuk Zarul. Aku tahu dia mesti suka. Aku belikan dia topi NIKE. Tapi aku ragu-ragu nak bagi kat dia. Walaupun dia suka topi, tapi sejak aku meluahkan perasaanku, aku jadi malu sendiri. Jadi, tak pelah. Aku simpan je topi tu. Mungkin satu hari nanti baru aku bagi pada dia. Dah nasib kaulah Shiela. Mencintai orang yang tidak menyintai engkau. Wah, mengantuk rasanya mata ni. Dahlah dairi, esok lusa jumpa lagi.
14.06.03, 11.00 malam.
Aku baru je lepas bergayut dengan Zarul. Macam biasa, kami bercerita tentang kerja. Dia cakap dia sibuk sikit. Tak kisahlah, aku sedia mendengar apa sahaja masalahnya. Sebab bagiku, Zarul sudah jadi sebahagian dari hidupku. Dairi, kau tahu tak? Aku sentiasa menunggu bilalah masanya, Zarul nak ucap I LOVE U Shiela. Aku rasalah, akulah orang yang paling bahagia bila dia ucapkan kata-kata itu.
I LOVE U ZARUL. I LOVE U. ZARUL AKU CINTA PADAMU!!
Zarul bungkam. Manik-manik jernih terasa di sekeliling kelopak matanya. Hati lelakinya tewas. Begitu dalam sekali cinta dan kasih Shiela pada dirinya. Lelaki jenis apakah aku ini. Kesalan mula bertandang dilubuk hati Zarul. Dia terus membaca, helaian demi helaian diari itu terus diselak. Air mata lelakinya mengalir.
Di muka surat terakhir diari itu ditulis, Zarul membaca lirik lagu. Lagu ini dinyayikan oleh kumpulan Exist, SEPERTI DULU. Bait demi bait Zarul menyanyikan lagu itu. Bertambah hiba hatinya, Sheila, maafkan aku!
“Zarul! Kau buat apa tu hah!” Shiela memandang tepat ke arah Zarul. Perasaan marahnya tidak dapat dibendung lagi. Zarul menoleh, terkejut. Dia tidak sedar bila masanya Shiela balik dan dia tidak dapat mendengar bunyi pintu di buka.
“Maafkan aku Shiela. Aku, aku.” Suara Zarul tersekat-sekat.
“Maaf?! Kau dah melampau, kau ceroboh bilik aku. Baik kau keluar sekarang. Keluar!” Shiela menjerit. Tangannya segera merampas diari yang berada ditangan Zarul.
“Shiela. Plss, jangan macam ni, aku minta maaf.” Zarul merayu. Jemari Shiela cuba digapai.
“Ahh, tak ada apa yang perlu dimaafkan! Antara kau dengan aku tak pernah wujud apa-apa ikatan.” Shiela berpaling, dia tidak mahu Zarul melihat air matanya. Dia tidak mahu Zarul mentertawakanya. Cukuplah selama ini Zarul menyakiti hatinya. Selama seminggu dia sudah mula belajar untuk menerima kenyataan. Belajar menerima hakikat yang dirinya tidak dicintai.
“Shiela, maafkan aku. Aku tahu selama ni aku dah banyak sakitkan hati kau. Aku buta selama ni.” Zarul merayu dan terus merayu. Shiela sedikit pun tidak menoleh padanya. Genggaman tangan Zarul ditepis.
“Pergilah. Pergilah kau mencari cintamu, biarkan aku mengubati luka hati ini. Luka yang kau berikan amat dalam Zarul.” Sheila berbicara.
“Sampai hati kau Shiela. Kau lupa pada persahabatan kita selama ini. Kau perlukan aku. Begitu juga dengan aku. Aku janji, lepas ni aku tak akan sakiti hatimu lagi Shiela.” Kini Zarul melutut di hadapan Shiela. Shiela tersenyum sinis.
“Kau kata aku lupa pada persahabatan kita? Siapa yang lupa Zarul, engkau atau aku? Seminggu kau tidak pernah cuba menghubungi aku. Kau biarkan aku terluka. Sekarang kau kata aku lupa? Zarul, kau sememangnya pentingkan diri sendiri. Tak usahlah kita cari siapa benar dan siapa salah sekarang.” Segalanya diluahkan kini. Shiela nekad kali ini.
Shiela meluru keluar. Topi keledar dicapai. Tak lama kemudian yang kedengaran hanya deruman skuter Shiela meninggalkan rumah. Ibu yang berada di dapur turut ke ruang tamu. Hanya bayangan Shiela sahaja yang dapat dilihatnya. Zarul turun dengan wajah yang lesu. Matanya merah. Makcik Sue melihat dengan perasaan yang penuh tanda tanya. Apa yang telah berlaku antara mereka berdua ini?
“Kenapa ni, Zarul? Apa yang berlaku? Cuba jelaskan pada makcik.” Zarul menggelengkan kepala. Matanya hanya mampu memandang wajah ibu Shiela didepannya dengan rasa kekesalan. Tiada kata-kata yang dapat diucapkan. Makcik Sue masih memandang ke arahnya. Zarul menarik nafas perlahan-lahan, dia mula bercerita.
“Entahlah makcik. Ini semua silap saya.” Zarul menyalahkan dirinya.
Sedar tak sedar jam sudah menunjukkan angka 9 malam. Zarul yang sedia menanti kepulangan Shiela mula digamit resah. Makcik Sue juga sudah berkali-kali cuba mendail telefon bimbit Shiela. Tiada jawapan. Telefon bimbit itu dimatikan. Kebimbangan mula menyelubungi hati Makcik Sue. Shiela tidak pernah berperangai sebegini teruk. Mama Zarul juga sudah berkali-kali bertanyakan pasal Shiela. Semua orang risaukan Shiela.
“Kita nak buat apa ni makcik?” Zarul bersuara akhirnya.
Belum sempat Makcik Sue berkata apa-apa, telefon berbunyi. Makcik Sue bangkit menuju ke telefon. Gangang diangkat, perasaan Makcik Sue sedikit berdebar.
“Hello,” bergetar sedikit suara Makcik Sue. Rasa seperti perkabaran yang tidak elok akan didengarnya. Di hujung talian dia mendengar penuh teliti. Matanya berkaca.
“Ya Allah, selamatkanlah anakku!” Makcik Sue memandang Zarul yang sedang menanti penuh debar.
“Siapa yang call makcik? Dia kata apa?” Tak sabar Zarul hendak mengetahuinya.
Makcik Sue hilang kata-kata. Zarul dirangkulnya erat. Basah dada anak muda itu dengan air matanya. Zarul kehairanan. Siapa yang telefon? Apa yang orang itu sampaikan? Suara tangisan Makcik Sue semakin kuat. Dahlia yang sedang belajar dibiliknya turut turun ke bawah.
Dahlia hanya memerhati. Mungkin berasa pelik. Kenapa ibunya menangis didalam perlukan Zarul?
“Makcik, kenapa ni? Apa yang berlaku? Sapa yang call tadi? Please makcik, beritahu Zarul. Pasal Shiela ke?” Zarul mendesak. Tak keruan dibuatnya dengan tingkah Makcik Sue.
Makcik.Sue menganggukkan kepala. Dia terduduk di kaki Zarul. Zarul turut terduduk. Dia seakan dapat merasakan perkabaran buruk itu.
“Shiela, Shiela kemalangan,” dalam kepayahan Makcik Sue berkata.
Bagaikan terkena panahan petir, Zarul terkejut dengan berita itu. Dia cuba mengawal emosinya.
“Ayuh kita ke hospital.” Zarul memberi cadangan. Segera dia bangkit. Tanpa disuruh Dahlia yang dari tadi hanya memerhati berlari ke dalam bilik. Tidak lama kemudian dia keluar dengan beg tangan dan sehelai selendang ibunya ditangan.
Dalam perjalanan ke hospital, Zarul sempat memberitahu mamanya tentang Shiela. Mereka juga akan ke hospital. Makcik Sue masih dengan air matanya. Dahlia mendiamkan diri sahaja.
“Sabar makcik. Kita berdoa semoga Shiela selamat,” Zarul memberi semangat.
Mindanya berputar ligat, kenangan-kenangan bersama Shiela segera menerpa dikotak fikiranya.
Tanpa disedari, air matanya mengalir di pipi. Ya Allah, kau lindungilah Shiela. Zarul berdoa dalam hatinya. Sesekali dia mengerling ke arah Makcik Sue. Makcik kelihatan sedikit tenang. Tidak seperti tadi. Yelah, ibu mana yang tidak sayangkan anaknya. Kereta sudah memasuki perkarangan hospital. Debaran jantung Zarul semakin terasa, dalam hatinya terus berdoa. Moga Shiela selamat. Doa Zahrul tidak putus-putus.
1 tahun selepas kemalangan.
“Morning sayang,” Zarul mencium lembut dahi Shiela. Perut Shiela diusap perlahan.
“Assalamualaikum, anak-anak ayah sihat ke? Jangan nakal-nakal tau. Kasihan mama.” Zarul riang sekali. Dia begitu bahagia sekarang, selepas peristiwa yang hampir meragut nyawa Shiela dia berikrar, hati Shiela tidak akan disakitinya lagi.
Sejurus Shiela pulih, dia terus menghantar rombongan meminang. Dan kini setelah hampir setahun istana cinta mereka dibina. Akan lahirlah putera dan puteri, tanda kasih mereka. Malahan dia adalah orang yang paling gembira bila Shiela disahkan mengandung. Anak kembar lagi. Bahagianya hidup ini.
“Abang, Shiela rasa lenguh-lenguhlah. Badan Shiela ni penat sangat. Boleh abang tolong picitkan kaki Shiela?” Shiela merengek manja. Tanpa membuang masa, Zarul segera melakukan apa yang diminta oleh Shiela.
“Bang, seandainya Shiela pergi satu hari nanti, abang jagalah anak-anak kita ni ya? Abang berilah mereka didikan agama yang sempurna untuk di dunia dan di akhirat.”
Zarul mendongak, wajah Shiela direnungnya. “Shiela, tak baik cakap macam tu. Banyakkan berzikir dan ingat pada Allah.”
“Shiela cakap je, abang jangan lupa tau,” jari-jemari Zarul digenggamnya erat. Shiela mencium tangan Zarul. Mata mereka bertautan, terasa begitu sayu mata Shiela. Zahrul mencuit dagu Shiela. Kasih sayangnya dirasakan begitu melimpah ruah. Terima kasih untuk kasih dan sayang ini Shiela. Abang begitu bahagia di sampingmu.
Subuh itu Shiela merasakan yang perut dan bahagian pinggangnya begitu sakit. Macam nak tercabut rasanya. Dia segera mengejutkan Zahrul yang sedang lena di sisi. Zahrul yang masih dalam keadaan mamai segera bangun, mujur kelengkapan bayi dan bersalin telah disediakan awal-awal. Segera Zahrul mencuci muka dan menyarung T-Shirt, Shiela dipakaikan baju sejuk. Tangannya pantas mendail nombor telefon rumah mama. Bercakap dengan mama lebih kurang, Zahrul mencepung Shilela turun, ibu sememangnya sudah menanti di bawah.
Bila semuanya telah bersedia, dengan lafaz bismillah Zahrul menuju ke hospital. Sesekali terdengar suara Shiela merengek kesakitan. Zahrul tidak melepaskan genggamanya di jari jemari Shiela. Hatinya bercampur baur, suka ada cemas pun ada. Moga semuanya selamat, tak lama lagi aku akan bergelar ayah. Saat inilah yang ditunggu-tunggu. Sejuk subuh tidak terasa lagi bagi Zahrul. Perasaan gembiranya telah meluputkan semua rasa yang datang.
Di luar bilik pembedahan, Zarul mundar-mandir. Mama dan ibu mertuanya hanya memandangnya dengan wajah yang penuh kebimbangan. Sejak Subuh tadi Shiela sakit hendak melahirkan, sehingga sekarang sudah pukul 9.00 pagi, tangisan bayi masih belum kedengaran. Doktor-doktor yang ada di dalam pun masih belum keluar lagi. Pada mulanya Zarul ingin menemani dan melihat proses kelahiran anak-anaknya, tapi dia dilarang. Debaran jantungnya semakin kencang. Peluh jantan mula keluar. Hatinya tidak pernah berhenti berdoa agar semuanya selamat.
Tepat jam 9.45 pagi baru kedengaran suara bayi menangis. Zarul segera menadah tangan bersyukur pada Yang Maha Esa. Doanya selama ini termakbul. Selang beberapa minit kemudian terdengar lagi suara bayi. Kegembiraan berbunga di hati Zarul. Mama serta ibu mertuanya berpelukan gembira. Yelah, sekarang mereka sudah naik pangkat, jadi nenek.
Tidak lama kemudian, seorang demi seorang doktor keluar. Zarul menunggu penuh debar. Bagaimana dengan Shiela? Bagaimana pula dengan anak-anaknya? Salah seorang doktor datang menemuinya. Zarul menjeling ke tag nama doktor tersebut. Doktor Suzila. Ucapan tahniah diucapkan padanya.
Tapi, dalam masa yang sama doktor itu menggelengkan kepala. Zarul minta kepastian apa yang berlaku. Dengan tenang Doktor Suzila memberitahu Zarul, Shiela tidak dapat diselamatkan. Shiela kehilangan banyak darah. Mereka telah cuba sedaya upaya tetapi mereka gagal. Allah lebih sayangkan Shiela. Dia berharap Zarul tabah menerima qada dan qadar Allah. Bahu Zarul ditepuk perlahan, Doktor Suzila melangkah pergi. Zarul kehilangan kata-kata. Dia seakan tidak percaya dengan apa yang baru disampaikan oleh doktor tadi.
Mama dan ibu merenungnya. Zarul buntu. Bagaimana hendak disampaikan berita duka ini. Dia duduk berteleku di lantai. Raungannya pecah. Dia tidak peduli lagi pada keadaan sekeliling. Dunianya gelap.
Mengapa? Mengapa begitu cepat Shiela meninggalkanya? Belum lagi sempat dia mengecap kebahagian sedalam-dalamnya, sekarang Shiela pergi. Pergi yang tidak akan kembali lagi. Pergi membiarkan dirinya seorang diri mengharungi masa depan.
“Zarul sabar. Apa halnya ni?” Mama bersuara. Ibu sedia berdiri di sisi.
“Ma. Shiela Ma,” tubuh Mama dirangkulnya kejap. Seakan tidak mahu dilepaskan lagi.
“Kenapa ni? Apa yang terjadi dengan Shiela? Cuba bertenang.”
“Ya. Kenapa dengan Shiela?” giliran ibu pula menyoal.
“Shiela dah pergi Ma. Ibu, Shiela tinggalkan Zarul.” Mama dan ibu tergamam, kedua-duanya berpandangan. Masing-masing terkejut. Apakah benar apa yang didengar oleh mereka ini?
Zarul menangis dan terus menangis. Dia cuba mencari kekuatan diri, namun masih gagal. Tidak lama kemudian, dua orang jururawat menolak keluar jenazah Shiela. Mama dan ibu segera menerpa. Zarul kaku. Kakinya tidak dapat melangkah. “Ya Allah, tabahkanlah hati hambamu ini, untuk menerima ujian dariMu.”
Angin bertiup sepoi-sepoi bahasa. Suasana di tanah berkuburan itu tenang sekali. Zarul masih setia di sisi kubur yang masih merah itu. Mama dan ibu menunggu di dalam kereta. Selepas membaca yasin dan berdoa, Zarul menabur bunga dan menyiram air mawar di pusara Shiela.
“Pergilah permaisuriku. Tidurlah kau dengan tenang di sana. Abang akan menjaga hadiah istimewa darimu dengan penuh kasih dan sayang. Abadilah kau dengan tenang di alam barumu kini. Hanya doa yang mampu abang kirimkan padamu sayang. Segala pesanan dan janji abang pada Shiela akan abang tunaikan. Abang redha dengan pemergianmu sayang.”
Zarul bangun. Tikar mengkuang yang dijadikan alas duduk digulung. Dia melangkah lesu. Tidak menoleh lagi. “Abang pergi Shiela. Abang pergi dengan kasih dan sayangmu.”
Bunga-bunga kemboja berguguran. Seakan melambai-lambai. Mengirimkan salam perpisahan.
kisah nih mmg sedih n penuh ngan pengajaran…….trimas buat penulis n tahniah krn berjaya menulis sebuah kisah yg menyentuh ati…..syabas……..